KUCHING: Di sebalik maraknya penyebaran berita palsu berkaitan Coviod-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, pihak polis menyeru kepada mereka yang sukar menyebarkan berita palsu agar menghentikan perbuatan itu.

Berita sedemikian menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar hanya akan mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat dan rakyat.

“Berhentilah (melakukan) perbuatan yang menyalahi undang-undang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kalau polis mengesan individu yang menyebarkan berita palsu, kita akan tangkap serta-merta dan mereka akan berdepan tindakan undang-undang,” tegasnya.

Berita palsu yang tersebar termasuk akan berlaku perintah berkurung atau lockdown di beberapa kampung di sini.

Juga akan berlaku penyebaran dan jangkitan virus corona di negeri ini pada hari ini.

Sementara itu, pakar komunikasi strategik Universiti Malaysia Sarawak Dr Mus Chairil Samani menasihati orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak disahkan kesahihannya.

“Sekiranya kita terima sesuatu yang belum pasti sahih, jangan pula kita menularkannya,” jelas beliau.

“Sesiapa yang menerima berita palsu bertanggungjawab menghentikan penularannya,’ katanya.

Para pemimpin negeri telah memberi pelbagai gesaan dan nasihat kepada rakyat di negeri ini  sejak beberapa hari lalu agar mereka tidak menularkan berita palsu kerana ia dapat mencetuskan panik dan ketakutan dalam kalangan orang ramai.