KOTA SAMARAHAN: Berita palsu akan terus menular sekiranya ada orang yang mudah terpedaya dengan kandungannya.

Pakar komunikasi strategik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr Mus Chairil Samani berkata, justeru penularan berita palsu perlu dibendung dengan mendidik orang ramai untuk membezakan berita palsu daripada berita betul.

“Orang ramai perlu didedahkan kepada literasi media supaya dapat mengambil langkah-langkah membendung penularan berita palsu,” katanya.

Mengakui  kesan buruk akibat penularan berita palsu, Dr Mus berkata, lebih membimbangkan adalah apabila pengolah berita palsu itu sengaja bermain dengan emosi seperti memainkan sentimen agama dan ras.

“Dalam semua keadaan, penularan berita palsu oleh sesiapa sekalipun mesti dihentikan dan jangan dijadikan bahan jenaka,” tegasnya.

“Cukuplah negara sekarang ini berdepan dengan wabak virus ini. Jangan ditambah dengan berita palsu,” katanya lagi, sambil memetik kajian betapa berita palsu menular lebih pantas dan meluas berbanding berita benar.

Beliau  berkata, penularan berita palsu ada kaitan dengan emosi pengguna media sosial.

“Keadaan emosi menyebabkan pengguna media sosial menular sesuatu berita palsu,” jelasnya.

Pensyarah Unimas itu berkata, keadaan emosi yang tidak stabil menyebabkan seseorang menular berita palsu.

“Tindakan ini tidak lagi disokong oleh pemikiran rasional. Apabila pemikiran tidak rasional menguasai tindakan seseorang, semua yang palsu akan dianggap benar. Kebenaran tidak lagi berpijak kepada fakta tetapi berdasarkan emosi,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa yang menerima berita palsu bertanggungjawab menghentikan penularannya.

“Amalkan pendekatan tidak menular sebarang maklumat yang tidak pasti, lebih-lebih lagi berita palsu kepada orang lain,” tegasnya lagi.