KUCHING: Lima lelaki bertindak agresif terhadap polis antara 48 individu ditangkap atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri dari tempoh 8 malam semalam sehingga 8 pagi, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, tangkapan tersebut hasil daripada operasi 24 jam hari ke-10 kawalan PKP yang dijalankan pihaknya di seluruh negeri.

Menurutnya, Sibu mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 12 orang, diikuti Miri (11), Kuching (10), Padawan (5), Bintulu (4), Matu Daro (4) dan Sarikei (2).

“Golongan yang ditangkap gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di jalan raya atau tempat awam.

“48 individu yang ditangkap merangkumi 45 lelaki dan tiga daripadanya merupakan wanita,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, lima lelaki yang bertindak agresif terhadap polis ditahan reman manakala 43 individu yang lain dijamin polis setelah rakaman percakapan diambil.

Dedahnya, lima suspek yang ditahan reman ditangkap di Padawan.

Tegas beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan)2020.

Ujarnya, kesemua suspek jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.