KUALA LUMPUR: Dalam kesusahan rakyat, ada yang cuba mengambil kesempatan.

Mereka ini bagai menangguk di air yang keruh. 

Kerajaan telah mengesan beberapa cubaan untuk menipu rakyat, terutamanya berhubung pengeluaran akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini susulan  pengumuman insentif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Hal ini didedahkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 393 kertas siasatan, termasuk kes berhubung penipuan penjualan dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan.

“Oleh kerana banyak insentif ramai cuba mengambil kesempatan untuk menipu rakyat kita dan sebagainya,” katanya mengenai insentif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM250 bilion itu.

“Bila kerajaan umum boleh dilakukan pengeluaran untuk KWSP, scammers mengambil kesempatan  membuat penipuan dengan mengeluarkan tawaran melalui media sosial dan sebagainya,” jelas beliau sambil menasihati rakyat agar lebih berhati-hati agak tidak terpedaya dengan kegiatan penipuan seperti itu

“Ada yang meminta mereka yang ingin keluarkan wang  dengan memberi nombor kad pengenalan, malah nombor akaun bank,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 426 kes penipuan melibatkan penjualan topeng muka dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh  PKP setakat semalam dengan jumlah kerugian lebih RM3 juta.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dipetik media  berkata, seramai 30 individu termasuk 10 wanita tempatan ditahan kerana disyaki terlibat menjual topeng muka palsu di media sosial.

Sebenarnya mereka ini tidak berhati perut dan mengambil kesempatan daripada kekurangan topeng muka di pasaran susulan permintaan tinggi.