KUALA LUMPUR:  Di sebalik negara giat memerangi penyebaran wabak Covid-19, penyebaran berita palsu kelihatan semakin menjadi-jadi.

Justeru, penyebaran berita palsu dan tidak jelas harus diberhentikan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Melalui satu hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid memberi reaksi demikian apabila merujuk kepada laporan media perdana yang menyatakan banyak kertas siasatan telah dibuka oleh pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran berita tidak sahih COVID-19.

“Kerajaan perlu wujudkan kerjasama strategik antara SKMM dan PDRM bagi menangani penularan berita tidak benar berkaitan COVID-19 agar rakyat tidak panik,” tegasnya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, apa yang berlaku sewaktu krisis COVID-19 ini menjadi asas yang kukuh betapa Akta Anti-Berita Tidak Benar perlu untuk negara dari mengekang berleluasanya penularan berita palsu.