KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyeru kepada rakyat agar mematuhi arahan yang diberikan berkaitan langkah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Percayalah, katanya, sekiranya semua rakyat mematuhi arahan sudah pasti tempoh Perintah Larangan Pergerakan (PKP) akan dapat dipendekkan.

“Kita telah lalui krisis menangani virus COVID-19 secara berperingkat, namun virus ini bukan mudah untuk diatasi, ia bergantung sejauh mana kita rakyat ada kesungguhan untuk memberi kerjasama,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu melalui satu hantaran di Facebooknya.

“Kita kena berusaha dan berikhtiar, selebihnya kita berserah kepada Allah, perbanyakan doa mudah-mudahan negara kita sentiasa dilindungi Allah… tolong duduk di rumah,” katanya.

Kelmarin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas memaklumkan PKP yang sepatutnya berakhir lima hari lagi dilanjutkan sehingga 14 April depan bertujuan memastikan Malaysia dapat menangani jangkitan COVID-19.