KUALA LUMPUR: Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan suntikan sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Pakej sedemikian besar merupakan pertama kali dalam sejarah ketika dunia dan negara sedang berdepan ancaman wabak Covid-19 yang semakin mengganas.

Sekumpulan pakar sains terkemuka dari Imperial College London dipetik Reuters berkata sekiranya tiada langkah atau dasar wajar yang diambil, wabak itu dianggarkan akan menjangkiti 7 bilion manusia di muka bumi dan  dijangka mengorbankan 40 juta nyawa di serata dunia, pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Perdana menteri dalam ucapan beliau berkata keutamaan kerajaan waktu ini adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat melalui ucapannya yang disiarkan melalui televisyen petang ini.

“Pakej prihatin ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua,” katanya merujuk kepada nelayan, pekebun kecil, pengusaha calet, peniaga pasar malam atau pasar tamu.

“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir,” tegasnya.