KUCHING: Ramai yang tertanya-tanya apakah yang bakal diumumkan  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah pakej rangsangan ekonomi kerajaan hari ini.

Rakyat berharap pakej rangsangan ekonomi itu lebih menyeluruh bagi menghadapi cabaran wabak Covid-19.

Sehingga 12 tengah hari semalam,  terdapat 2,031 kes positif Covid-19 di Malaysia, manakala jumlah kematian 23 orang.

Ini kerana rakyat pada amnya terkesan oleh wabak berkenaan terutamanya selepas tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan ke 14 April.

Tempoh asal adalah dari 18 Mac hingga 31 Mac tetapi disebabkan trend peningkatan dalam jumlah kes, ia pun dilanjutkan.

Jika trend terus meningkat selepas 14 April, dipercayai bahawa PKP akan dilanjutkan lagi.

Bagaimanapun, rakyat  berharap pengumuman yang bakal dilakukan oleh Perdana menteri bakal meringankan beban kewangan mereka, terutama bagi golongan tidak berupaya dan B40.

Dua hari lepas, ketika menyampaikan perutusan khas melalui saluran televisyen, Perdana Menteri berkata, menerusi pakej itu, semua lapisan masyarakat tidak akan dipinggirkan.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual pisang goreng, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat,” kata  beliau dalam perutusan itu, sekali gus memberi sinar harapan kepada rakyat yang kini menderita.

Muhyiddin menjelaskan menyedari amanah yang dipikul sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat, beliau akan melaksanakan tugas dengan baik.

Doa yang dibacakan oleh beliau pada hujung perutusan khas itu menyebabkan rakyat sebak.