BOS Manchester City, Pep Guardiola dan bintang Barcelona, Lionel Messi masing-masing menyumbangkan sejuta euro (RM4.8 juta) untuk memerangi wabak Covid-19. Sumbangan Messi akan dibahagikan kepada Hospital Clinic di Barcelona dan satu lagi pusat perubatan di kampung halamannya.

“Messi membuat sumbangan kepada klinik bagi melawan coronavirus. Terima kasih banyak Leo, atas komitmen dan sokongan anda,” kata Hospital Clinic di media sosial. Bekas pemain dan pengendali Barcelona, Guardiola pula memberi sumbangannya kepada kempen yang dilancarkan Angel Soler Daniel Foundation dan Medical College of Barcelona.

“Guardiola menyumbang sejuta euro (RM4.8 juta) kepada Angel Soler Daniel Foundation untuk mendapatkan bekalan peralatan kesihatan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Kempen sumbangan itu dilancarkan oleh Medical College of Barcelona dan diuruskan oleh Angel Soler Daniel Foundation yang menyasarkan untuk mengutip sumbangan peralatan perubatan dan wang bagi kegunaan pusat perubatan di Catalunya,” kata kolej itu.

Sepanyol adalah negara kedua tertinggi di Eropah selepas Itali dilanda Covid-19, mencatat 2,696 kematian dan hampir 40,000 kes positif. Catalunya, tempat asal Guardiola dan tempat tinggal Messi sejak menyertai Barcelona, antara wilayah paling banyak mencatat kes di negara itu.