KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, satu per satu negara dalam dunia sedang menggunakan pendekatan “cash is king” untuk menyelamatkan ekonomi mereka daripada krisis wabak Covid-19.

Justeru, Datuk Seri Najib Razak mahu kerajaan PN juga menggunakan pendekatan sedemikian.

“Kita juga harap kerajaan PN juga akan menggunakan cara yang sama pada skala yang paling besar mungkin dalam pakej rangsangan ekonomi tambahan hari ini untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi dipelihara dalam keadaan negara yang susah sekarang,” kata Anggota Parlimen Pekan itu dalam satu hantaran di Facebooknya.

Najib ketika menjadi Perdana Menteri terkenal dengan ungkapan ‘cash is king’ untuk memenangi pilihan raya umum lalu.

“Dan bantuan ini mesti mesti dipercepatkan,” tegas Najib menjelang pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar lagi.

Jelas beliau,  kerajaan tidak perlu bimbang untuk menggunakan rizab negara dan boleh membina semula kekayaan negara selepas krisis Covid-19 berakhir.

“Inilah maksud sebenar ‘cash is king’ yang sebelum ini pernah diputar belit dan dihina oleh Pakatan Harapan (PH)berulang kali sebelum PRU-14,” katanya.