KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik memberitahu pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi memastikan penularan wabak ini berjaya dikekang sepenuhnya.

Untuk itu beliau memohon agar semua penduduk bertenang dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk perlu kekal berada dalam rumah.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beberapa kawasan di Simpang Renggam akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa mulai 27 Mac hingga 9 April.

Juga dimaklumkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membekalkan makanan asas yang mencukupi kepada penduduk di dua tempat terbabit sepanjang tempoh ini.

“Kami akan sentiasa memaklumkan dan mengemaskini info serta bantuan yang boleh disalurkan. Hubungi talian Pejabat Parlimen Simpang Renggam ini untuk sebarang aduan atau info di talian 010-235 0151,’ katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

“Saya mohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan seluruh penduduk Simpang Renggam dan para petugas dalam mengharungi masa-masa yang sukar ini,” katanya.