KUCHING: Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) pada Khamis mengumumkan pelancaran sistem penyelesaian pengawasan digital untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini, yang dianggap sebagai pencapaian luar biasa kerana berjaya dibangunkan dalam tempoh tiga hari.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, SMA berkata penyelesaian itu akan memberi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri keupayaan berskala untuk memantau penyakit berjangkit di semua pintu masuk Sarawak.

“Selain deklarasi kesihatan mandatori, individu yang diberi kebenaran memasuki Sarawak akan menerima gelang Kod QR (yang wajib mereka pakai) berdasarkan kategori iaitu individu yang sedang disiasat (PUI) dan 14 hari Notis Duduk Di Rumah (SHN),” menurut kenyataan itu seperti dipetik Bernama.

Di bawah kategori PUI, mereka yang diletakkan di bawah kuarantin rumah atau kuarantin hospital secara dua kali sehari, si pemakai dikehendaki melaporkan situasi mereka dengan mengimbas kod QR untuk menghantar satu set maklumat.

“Data yang dikumpul akan membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membuat keputusan bermaklumat serta melakukan pemeriksaan rawak terhadap pemakai.

“Lokasi pemakai juga akan membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk menubuhkan hotspot, strategi utama untuk mengasingkan penularan penyakit ini,” katanya.

Variasi sistem pengesan tersebut telah digunakan di China, Singapura, Korea Selatan dan Hong Kong iaitu data yang dikumpul adalah penting untuk menguruskan bentuk dan evolusi virus.