KABONG: Memasuki hari kesepuluh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini menyaksikan beberapa kampung dan rumah panjang di bawah pentadbiran Daerah Kabong mula melarang kemasukan orang luar ke kawasan mereka bagi menghindari penularan wabak Cobid-19 merebak ke kawasan mereka.

Penduduk kampung terlibat telah bertindak memasang notis di laluan masuk utama kampung berkenaan untuk memaklumkan kepada orang luar kawasan supaya tidak memasuki kampung terlibat sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Antara kampung yang telah mengambil langkah berkenaan ialah Kampung Perpat,Kampung Kaba,Kampung Emplam,Kampung Sessang dan Kampung Gerigat serta beberapa kawasan rumah panjang.

Ahli Majlis Daerah Saratok Kaunselour (Kr) Borhan Hasyim memberitahu tindakan kampung terlibat dilihat sebagai langkah proaktif dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Di samping itu Borhan berharap penduduk perlu patuh kepada PKP dan tidak keluar rumah jika tiada urusan mendesak atau kecemasan.

” Perlu patuhi arahan kerajaan untuk tidak keluar rumah sehingga tarikh PKP tamat. Tak guna pasang notis halang orang luar masuk kalau penduduk kampung tidak mengamalkan disiplin dan masih merayau-rayau,” ujarnya.

Kata Borhan lagi, pemberhentian sementara perkhidmatan feri Sungai Krian juga dilakukan kerajaan pada masa kini iaitu bermula 25 Mac hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

“Pengguna jalan raya pesisir yang perlu melalui feri harap ambil tahu perkara ini.Pengguna boleh terus menggunakan laluan jalan pesisir tetapi perlu melalui Pusa ” katanya.