KUCHING: Ketua Menteri berkata sekiranya rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya, Sarawak akan dapat mengekang penyebaran wabak Covid-19 sekali gus menghentikan rantaiannya.

“Dalam tempoh PKP sehingga 14 April kita harap dan menyasarkan sifar kes positif Covid-19,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 mac telah dilanjutkan hingga 14 April.

Jelas beliau, trend kes positif Covid-19 di Sarawak berada pada kedudukan stabil selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Kes positif Covid-19 di Sarawak menurun daripada 10 kes pada 21 Mac kepada lapan dan enam kes masing-masingnya pada dua hari berikutnya dan stabil kepada empat kes hingga semalam.