RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membantu kepulangan jemaah umrah yang terperangkap daripada kembali, selepas penutupan penerbangan antarabangsa sejak 15 Mac lalu akibat wabak Covid-19.

Memetik CNNIndonesia, Konsulat Jenderal Indonesia di Jedah berkata, seluruh jemaah umrah yang mengalami kesukaran kembali ke Indonesia boleh memanfaatkan kemudahan Arab Saudi itu.

Kerajaan Arab Saudi berkata, kepulangan ini hanya sah untuk jemaah umrah yang masuk ke Saudi pada pada umrah 1441H dengan visa umrah sahaja bukan visa ziarah atau pelancong.

Mereka diminta mendaftar diri melalui laman sesawang: eservices.haj.gov.sa sehingga Sabtu, 28 Mac 2020.

Selain penerbangan pulang, Arab Saudi juga tidak mengenakan denda imigresen bagi jemaah yang lambat pulang.

Arab Saudi mencatatkan 900 kes positif Covid-19 dengan dua kematian.

Kini negara tersebut mengenakan sekatan bergerak pada waktu malam sejak awal minggu, selain menutup pasar raya dan restoran.

Saudi sudah menangguhkan ibadah umrah sebelum ini.