MUKAH: Penduduk sebuah kampung di sini mengambil satu langkah ke hadapan bagi memastikan virus maut  tidak menular ke kawasan mereka.

Melalui arahan Ketua Kaum, mereka dari luar  diberi amaran tidak dibenarkan masuk ke kampung itu.

Amaran tersebut dipasang di persimpagan jalan masuk ke Kampung Sau yang didiami kaum Melanau.

“Orang luar tidak dibenarkan masuk ke kawasan Kampung Sau semasa tempoh larangan Kawalan Pergerakan 18-14 April,” kata pemberitahuan berkenaan yang turut dipaparkan melalui satu kumpulan WhatsApp di sini.

Setakat ini, belum ada lagi kes positif Covid-19 dilaporkan di Mukah.

Jadi, penduduk di kawasan terbabit perlu mengambil langkah proaktif dan efektif untuk memastikan virus maut itu  tidak menular di kawasan itu.

Sebelum ini, beberapa buah rumah panjang di negeri ini turut menyekat orang luar daripada memasuki rumah panjang mereka.

Ada yang memberi amaran akan dikenakan denda hingga RM2,000.