KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memahami ramai yang akan dukacita dan bertambah risau apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan dua minggu lagi ke 14 April.

Bekas Perdana Menteri  menyeru rakyat mempercayai bahawa krisis yang sedang dihadapi oleh negara pada masa ini sangat luar biasa dan tidak pernah dihadapi negara sejak merdeka.

“Saya percaya juga bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada pilihan lain dan terpaksa melanjutkan tempoh PKP ini walaupun mereka sedar bahawa cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan ekonomi kita tidak kurang besarnya,” katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya.

Anggota Parlimen Pekan itu berkata, memandang perlanjutan PKP, kerajaan PN perlu menyegerakan pakej rangsangan ekonomi yang dijangka hanya diumumkan pada 30 Mac.

Kata beliau, kerajaan juga perlu  meningkatkan usaha untuk memastikan kitaran wang dalam ekonomi serta bekalan makanan dan barangan asas tak putus.

“Jika boleh, jangan tunggu hingga 30 Mac untuk diumumkan sekali gus. Umumkan bantuan sebaik sahaja ianya telah dipastikan dan diluluskan. Pada 30 Mac, kerajaan PN masih boleh kumpul dan ulang semula apa yang pernah diumumkan pada hari-hari sebelumnya dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi hari itu,” jelasnya.

Jelas bekas Menteri Kewangan itu lagi, satu lagi langkah kerajaan yang patut diambil untuk memastikan kitaran wang dalam Malaysia tidak henti dan juga untuk mengurangkan tekanan ke atas perniagaan-perniagaan dan pekerja mereka ialah kerajaan patut mempercepatkan bayaran kerajaan kepada pembekal-pembekal dan kontraktor kerajaan yang memerlukan bayaran untuk membayar pekerja-pekerja.

“Golongan ini bukan kecil. Ramai rakyat yang akan terkesan jika bayaran lambat diterima.

“Jangan sekali dibiarkan bayaran ini menjadi lewat walaupun saya tahu ramai staf kerajaan yang mungkin terkesan oleh larangan pergerakan dan ini mungkin menjadi satu rintangan untuk memproseskan bayaran,” katanya.

“Cari jalan untuk mempercepatkan proses bayaran kerajaan. Wang ini memang patut dibayar pun. Cuma tengok masa untuk dibayar,” tambahnya.