Sebagai wakil rakyat, kami telah membantu dengan sebaik mungkin termasuk menggunakan baki bantuan yang ada untuk memberikan bekalan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan semasa perintah kawalan pergerakan. Bantuan telah diberikan melalui saya sendiri atau melalui pegawai-pegawai saya di pusat khidmat.

Tetapi walaupun belum sampai 31 Mac atau fasa pertama perintah kawalan pergerakan, saya telah menerima banyak aduan daripada mereka yang hanya bersandarkan gaji harian atau mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Golongan ini termasuklah mereka yang berada di dalam bidang pertanian seperti petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil.

Saya ingin menegaskan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah melanjutkan perintah kawalan pergerakan untuk tidak memandang ringan kepada golongan ini. Adakah kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap dengan senarai mereka yang benar-benar fakir dan miskin serta mereka yang mengharapkan gaji harian dan tidak mempunyai simpanan? Saya sangat bimbang golongan ini akan menghadapi ancaman kebuluran jika tidak ditangani secara tuntas.

Apabila tempoh kawalan pergerakan ini dilanjutkan, persoalan utama ialah faktor bekalan logistik untuk mengatasi keperluan makanan kepada golongan ini.

Saya berharap perkara ini diteliti oleh perdana menteri dan saya juga mengharapkan satu pelan operasi khas yang jelas bagi membantu golangan yang paling berisiko ini.

SALAHUDDIN AYUB
TIMBALAN PRESIDEN PARTI AMANAH NEGARA
AHLI PARLIMEN PULAI
ADUN SIMPANG JERAM