BEIJNG: Pekerja migran China yang hilang ingatannya pada 1990 akibat kecederaan otak baru-baru ini tersedar dari penyakitnya itu.

Ingatannya muncul semula ketika dia terdengar laporan berkaitan Covid-19 dan secara tiba-tiba dia teringat akan kampung halamannya.

Kira-kira 30 tahun lalu, Zhu Jiaming, berasal dari Guizhou, meninggalkan kampung halamannya untuk bekerja di Hubei.

Pada tahun yang sama, Zhu terlibat dalam nahas jalan raya dan dia mengalami kecederaan teruk di kepalanya sehingga menyebabkannya kehilangan memori.

Lebih malang lagi Zhu kehilangan kad pengenalannya menyebabkan dia merempat di jalan.

Mujurlah ada sepasang suami isteri yang menolongnya dan membawanya tinggal bersama mereka.

Biarpun dia cuba sedaya upaya mengembalikan memorinya namun gagal berbuat demikian.

Pada 2015, keluarga angkatnya membawanya pindah ke Yunhe, di wilayah Zhejiang, yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari bandar kelahirannya.

Perpindahan itu bagaimanapun merupakan sesuatu yang baik untuk Zhu kerana memorinya perlahan-lahan muncul semula.

Pada bulan lepas ketika dia menonton televisyen berkaitan Covid-19, memorinya tiba-tiba muncul semula dan dia terus meminta bantuan polis mencari keluarga asalanya.

Zhu mendapat tahu ayahnya sudah meninggal dunia kira-kira 18 tahun lalu dan kewarganegaannya dibatalkan selepas dia dilaporkan hilang. Namun dia berjaya bertemu semula dengan ibunya dan empat adik-beradiknya yang lain.