KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid memuji tindakan kerajaan yang berani membuat keputusan dan mengumumkan lebih awal tentang lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, langkah tersebut pastinya akan memberikan ruang dan masa untuk rakyat lebih bersedia.

“Saya secara peribadi menyambut baik pengumuman ini kerana kesihatan rakyat lebih penting. Saya sedar ramai yang mengeluh kerana Perintah ini telah memberi impak yang sangat besar terhadap punca pendapatan rakyat terutama golongan B40,” kata bekas Menteri Pendidikan itu melalui satu hantaran di Facebooknya..

“Justeru, saya amat berharap inisiatif-inisiatif dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan oleh YAB PM semalam dan beberapa lagi pada hari Jumaat ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengumumkan bahawa PKP atau Movement Control Order telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Kata Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, beliau merayu kepada rakyat Malaysia untuk kekal mematuhi PKP.

“Duduk di rumah diam-diam, stay at home. Beri kerjasama yang sepenuhnya kerana hanya dengan mematuhi segala arahan yang diberikan oleh pihak Kerajaan dapat menghentikan penularan virus COVID-19.

“Saya juga mendoakan agar pandemik COVID-19 ini segera pulih,” katanya lagi.