KABONG: Barangan keperluan asas dan barangan keperluan harian yang lain masih cukup dan penduduk tidak perlu bimbang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Balai Polis Kabong, Sarjan Mejar (SM) Lidam Unting yang mewakili pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Mohd.Amin Edi yang mewakili Majlis Daerah Saratok (MDS) selepas melakukan pemantauan di kesemua kedai dan premis yang masih beroperasi di sini pada hari kesembilan kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 sebentar tadi.

Menurut Lidam, kira-kira jam 2.30 petang tadi pemantauan stok barangan yang ada di kedai barangan runcit dan Supermarket Family W telah dilakukan dan stok barangan didapati masih banyak dan penduduk tidak perlu berasa risau berkaitan tahap kuantiti bekalan keperluan harian di sini ketika ini.

“Barang masih okey tidak akan kekurangan bekalan.Jadi penduduk jangan risau dan kekallah akur perintah duduk rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya keluar jika nak beli barangan keperluan.

“Larangan untuk bergerak ke daerah lain masih dikuatkuasa jadi jangan bergerak ke daerah lain kecuali atas kes-kes kecemasan dan hal-hal yang tidak dapat dielakkan,” ujar Lidam.

Tambah Lidam lagi kesemua premis yang menjual barangan tersebut akan ditutup jam 7 malam dan penduduk tidak lagi dibenarkan keluar pada jam 7 malam.

“Sila patuhi arahan ketika hendak beli barang iaitu hanya dua orang boleh masuk ke kedai untuk beli barang pada satu-satu masa. Dan untuk di supermarket hanya ketua keluarga dibenar masuk dan perlu patuh kepada penjarakan sosial satu meter,” tambah Lidam.

Sementara itu stesen jualan minyak di sini akan ditutup lebih awal iaitu jam 4.30 petang.