KUCHING: Kerajaan Sarawak, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersedia meneliti pengagihan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dari semasa ke semasa dengan mengambil kira rakyat yang terkesan akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April depan.

Pada Isnin Ketua Menteri mengumumkan 16 langkah membabitkan RM1.15 bilion bagi meredakan beban ditanggung rakyat susulan pelaksanaan PKP.

Menurut Ketua Menteri pihaknya akan mencari jalan penyelesaian bagi membantu rakyat yang  menerima tempias di negeri ini bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan seperti biasa.

“Kita akan memantau secara dekat kesan penularan COVID-19 termasuk pelbagai inisiatif ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Keselamatan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

“Apa yang penting, rakyat yang terkesan dengan wabak ini akan kita bantu,” ujarnya. 

“Kita akan memantau pengagihan pakej bantuan sekali gus mencari penyelesaian dan membantu mereka kembali kepada kehidupan biasa,” katanya  lagi, sambil merayu agar rakyat Sarawak patuhi arahan PKP dan duduk di rumah

Abang Johari berkata, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac hingga hari ini, penyebaran COVID-19 di Sarawak dilihat stabil.