KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di Seri Petaling,  Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu supaya segera tampil membuat ujian saringan Covid-19.

“Baginda turut menggesa individu-individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur pada akhir Februari lalu, yang masih berdegil, agar tampil untuk menjalani saringan,” titah baginda melalui satu kenyataan di Facebook rasmi Sultan Selangor. 

Baginda khuatir sekiranya penularan wabak ini berlarutan dan jumlah kes jangkitan terus meningkat, ia akan menyebabkan tempoh perintah kawalan pergerakan dipanjangkan lagi.

“Ia sekali gus akan menjejaskan lagi kegiatan harian rakyat dan memberi impak serius terhadap pendapatan golongan-golongan di pelbagai peringkat seperti peniaga dan usahawan kecil,” titah baginda lagi.

Dua hari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kira-kira 62 peratus pesakit yang didapati positif Covid-19 selepas disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah golongan yang menghadiri ijtimak tabligh berkenaan.

Jelas beliau  pihaknya melakukan saringan terhadap kira-kira 13,000 jemaah tabligh dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,700 sampel sudah diambil.