KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah kesempitan, memang ada manusia berhati walang yang mengambil kesempatan.

Mereka menangguk di air keruh.

Ini termasuk penipu di media sosial.

Untuk itu, rakyat harus berhati-hati penjualan topeng muka di media sosial terutamanya di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pelbagai iklan dan tawaran termasuk harga murah ditawarkan oleh sindiket penipuan ini yang semakin aktif mengiklankan penjualan produk terbabit semenjak penularan COVID-19.

“Sejak penularan wabak COVID-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya lihat kes penipuan menjual topeng muka di laman sosial semakin meningkat,” katanya melalui  catatan Facebook.

“Rakyat Malaysia tidak perlulah membeli topeng muka secara banyak ataupun ingin menjualnya semula kerana menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penggunaan topeng muka bukanlah mandatori ketika waktu ini,” katanya lagi.

Kata Dr Najmil lagi, beliau mengharapkan agar tiada lagi individu yang menjadi mangsa penipuan penjualan topeng muka.

“Seorang wanita berusia 37 tahun menjadi mangsa penipuan topeng muka dan mengalami kerugian RM54,000 kerana di tipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jelas beliau, langkah pencegahan yang terbaik adalah duduk di rumah, penjarakan sosial ketika keluar dan menjaga kebersihan diri.

“Ini adalah sekadar nasihat sahaja kerana saya tidak mahu ada lagi yang ditipu terutama sekali pada waktu sukar ini,” katanya.