KUALA LUMPUR: Semua penjawat awam menerima gaji pada hari ini, namun perlu diingatkan agar anda terus kekal mematuhi peraturan kerajaan iaitu, mengehadkan perjalanan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak dikuatkuasakan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari kelapan hari ini.

Sebagaimana lazim pada hari penerimaan gaji, orang ramai dijangka menuju ke pasar raya dan pasar awam serta cawangan Mesin Teler Automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang, dan melakukan pembelian barangan keperluan.

Menyahut nasihat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, orang ramai tidak digalakkan berpusu-pusu ke bank, bagi memastikan jarakan sosial dan keselamatan awam terjamin, dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

Hari ini bukan kakitangan awam sahaja yang menerima gaji, tetapi ada juga sebilangan pekerja di syarikat swasta yang menerima kemasukan gaji lebih awal, termasuk mereka yang mendapat bonus daripada majikan masing-masing.

Selain gaji, Kementerian Wanita dan Keluarga turut memaklumkan seramai 500,000 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menerima wang bantuan itu hari ini.

Menurut bernama, tidak mustahil orang ramai mengambil peluang dengan situasi ini, untuk keluar membeli keperluan asas, namun perlulah berjimat cermat, tidak panik dan khuatir, kerana kerajaan telah memberi jaminan bekalan barangan asas adalah mencukupi.