KUCHING: Pakej  Bantuan Khas Sarawakku Sayang jelas memperlihatkan tahap keprihatinan yang tinggi  terhadap nasib rakyat di negeri ini oleh kepemimpinan Kerajaan Negeri Sarawak.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kita wajar berterima kasih dengan langkah yang diambil oleh Ketua Menteri itu.

Pada Isnin Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pakej bantuan menyeluruh kepada rakyat dan sektor perniagaan membabitkan peruntukan RM1.15 bilion.

 

“Kita amat berterima kasih atas peruntukan yang diberi termasuk kepada 430,000 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan kumpulan B40,” katanya melalui akaun media sosialnya.

Golongan yang layak akan menerima wang sebanyak RM250 selama enam bulan membabitkan kos RM640 juta.

Ramai yang menyifatkan langkah yang diambil oleh Kerajaan Sarawak itu sebagai tepat dan mampu meringankan beban kewangan golongan terbabit ketika mengharungi detik sukar ini selepas perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan selama dua minggu hingga akhir bulan ini.

Di bawah pakej  yang mengemukakan 16 langkah proaktif itu,  barisan depan termasuk doktor, jururawat, polis, tentera, kakitangan imigresen, anggota Rela, penjaja, dan peniaga diberi bantuan bagi meringankan beban kewangan dan menggerakkan ekonomi.