KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil rakaman percakapan lima suspek atas tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 yang melanda negara.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia merupakan tambahan kepada enam orang yang telah didakwa sebelum ini.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

“SKMM dan PDRM akan terus berganding bahu melalui Jawatankuasa jenayah siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutamanya mengenai COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Seksyen 233 AKM 1998 membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.