Kita kini berdepan dengan keadaan hidup atau mati.

Lebih tepat lagi, kita sedang berperang. Ya, peperangan melawan virus yang semakin mengganas. Musuh dalam perang ini tidak kelihatan dengan mata kasar tetapi kita semua berdepan risiko menjadi mangsa.

Tetapi anehnya, masih ada rakyat kita yang mengambil mudah akan ancaman wabak Covid-19. Setakat semalam hanya 90 peratus yang akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan.

Maksudnya, daripada 33 juta rakyat kita, sekitar tiga juta masih belum akur. Adakah kerajaan perlu isytiharkan darurat dan perintah berkurung sebelum mereka ambil peduli?

Malah, ada yang memperlekeh dan mempersenda langkah diambil kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang berlangsung hingga akhir bulan ini.

Bagi golongan bodoh sombong ini, mereka tidak kisah pun dengan apa-apa yang berlaku. Seolah-olah kita berada dalam keadaan biasa. Walhal kita kini berdepan keadaan luar biasa. Kalaulah mereka tahu betapa bahaya dan cepatnya virus itu merebak, mungkin mereka akan takut.

Jumlah yang mati di Itali dan Sepanyol begitu membimbangkan. Imej keranda disusun dan menunggu untuk dikebumikan begitu menyayat hati. Sukar dibayangkan. Begitu mengharukan dan menyedihkan.

Puncanya kerana rakyatnya mengambil mudah nasihat dan arahan kerajaan pada peringkat awal wabak itu menyerang. Sama seperti yang berlalu terhadap sebahagian rakyat kita.

Di bandar termasuk di kota Milan, perintah berkurung pada awalnya tidak begitu ketat dilaksanakan. Pengangkutan awam masih dibenarkan bergerak, rakyat masih dibenarkan bekerja dan orang ramai masih dibenarkan bergerak. Akhirnya, tentera dikerah untuk membantu menguatkuasakan arahan.

Pasukan perubatan, doktor dan jururawat bertarung dengan masa untuk menyelamatkan pesakit. Mereka keletihan kerana bekerja dalam tempoh yang lama. Yang memburukkan keadaan, kakitangan perubatan juga jatuh sakit dan terkena Colvid-19.

Berdasarkan statistik, 86 peratus yang meninggal ialah mereka yang berusia 70 tahun ke atas, manakala 10 peratus lagi mereka yang berusia 60 hingga 69 tahun.

Pesakit bersendirian di dalam bilik hospital, ada daripada mereka mati keseorangan tanpa kaum keluarga rapat. Mereka dihantar ke kubur juga tanpa saudara mara. Sehingga 11 halaman akhbar diisi dengan belasungkawa, dengan gambar si mati kerana wabak ini berbanding hari biasa satu halaman setengah sahaja. Keadaannya begitu traumatik, merisaukan dan menakutkan.

Menurut laporan The Washington Post, di seluruh Bergamo, satu wilayah di timur Milan dengan 1.1 juta penduduk, pesakit diambil oleh ambulans, dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia di wad hospital yang terkurung, tanpa saudara mara.

Banyak acara pengebumian hanya dihadiri paderi dan pekerja rumah mayat. Terdapat senarai panjang menunggu acara pengebumian atau pembakaran.

Ada yang menyifatkannya lebih teruk daripada keadaan perang. Apabila pesakit mati, si mati dikebumikan dalam pakaian yang ia pakai waktu meninggal, dibungkus di dalam selimut dan diletakkan di dalam keranda secepat yang mungkin. Kaum keluarga tidak dapat menatap wajah si mati yang akan pergi untuk selama-lamanya. Betapa pedih dan memilukan. Malah, ada yang menyifatkan seolah-olah bom kimia telah meledak.

Pada waktu malam hanya siren ambulans dan orang membawa keranda berada di jalan raya. Lori tentera digunakan untuk menghantar keranda ke kubur. Ia bertukar menjadi bandar hantu. Kesilapan di Bergamo tidak harus diulangi di sini. Langkah sekatan dan kawalan hanya dikuatkuasakan di situ pada 8 Mac.

Status zon mertah tidak diisytiharkan di kawasan terbabit.
Wabak berkenaan merebak dengan pantas di lembah berkenaan. Penduduk menganggap ia selesema biasa. Tetapi pekerja di rumah mengurus mayat sedar ada sesuatu yang tidak kena.

Sebuah kedai mengurus mayat mengendalikan 611 kes dari 1 hingga 18 Mac walhal ia hanya mengendalikan 100 urusan sedemikian pada bulan biasa.

Ingat, keadaan kita akan sama seperti dialami Itali jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, kalau rakyat kita tidak mengambil serius perintah kerajaan. Betul jumlah yang mati masih lagi dua orang, tetapi itu bukan bermakna kita boleh mengambil ringan.

Tidakkah cukupkah kejadian di seluruh dunia, terutama di Itali membuka mata kita?
Kini kerajaan Itali mengambil tindakan yang lebih ketat. Rakyat diminta berkurung dan diam di dalam rumah. Kerajaannya sejak minggu lalu hingga 25 Mac ini mengarahkan restoran, bar dan kedai, malah sekolah dan universiti ditutup.

Kelihatannya, tempoh berkurung perlu dilanjutkan di negara itu. Kalau rakyat kita masih degil dan keras kepala, langkah yang sama mungkin terpaksa dilakukan di negara ini.
Hakikatnya, langkah kerajaan meminta bantuan tentera menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan memang tepat untuk mendidik rakyat yang berkepala batu.

Jangan sampai nasi menjadi bubur dan wabak ini membawa tragedi nasional. Semua orang tidak suka berkurung di rumah, kerana mereka tidak lagi dapat menikmati kebebasan seperti biasa, termasuk menikmati teh tarik dan roti canai atau mi jawa di kedai seperti biasa.

Ya, tragedi di Itali dan China harus membuka mata kita semua. Kita tidak harus bersikap sambil lewa dalam mendepani masalah ini. Kita tidak harus kalah dalam perang ini. Kekalahan bukan pilihan.

Kita perlu menang dan kemenangan hanya dimungkinkan dengan kerjasama semua pihak. Kita hanya diminta untuk berkorban sedikit. Kita hanya perlu diam di rumah. Kita perlu duduk dalam rumah tanpa perlu keluar tanpa alasan yang kuat. Terlalu sukarkah permintaan ini? Ini bukan soal remeh yang harus diambil mudah. Kita mahu pihak polis dan tentera yang dikerahkan mulai hari ini, bertindak lebih tegas terhadap rakyat yang degil.

Masa untuk berlembut sudah berlalu. Tindakan sewajarnya mengikut undang-undang perlu diambil, termasuk menyumbat mereka dalam penjara dan mengenakan denda. Mesej dan isyarat yang jelas dan tegas perlu dihantar kepada rakyat kita demi keselamatan dan kesihatan kita semua. Juga sebelum tragedi nasional menimpa kita.