BARU-BARU ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan kes jangkitan wabak Covid-19 semakin merebak.

Sebagai rakyat, kita seharusnya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan duduk di rumah selama 14 hari demi keselamatan masing-masing.

Pihak kerajaan bukan mengeluarkan perintah kawalan pergerakan sewenang-wenangnya kerana ia bagi memastikan virus tersebut tidak dapat merebak dengan begitu cepat. Menurut pakar, virus tersebut mungkin dapat dikawal sekiranya kuarantin dilakukan selama 14 hari kerana dalam tempoh tersebut ia memerlukan perumah untuk hidup.

Bagaimanapun, terdapat segelintir rakyat masih degil dengan arahan yang dikeluarkan oleh MKN, malah ingkar dengan keluar dari rumah tanpa menghiraukan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat setempat.

Ada yang masih mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti di luar termasuk lepak, beriadah, berjalan-jalan dan banyak lagi yang mungkin menyebabkan anda terdedah dengan ancaman wabak tersebut. Rakyat sepatutnya akur dan patuh dengan arahan tersebut supaya kita dapat melawan wabak Covid-19.

Ia merupakan perkara paling mudah dilakukan dan jika anda mahu menyumbang jasa kepada negara, maka inilah masa yang diperlukan tanpa perlu melakukan apa-apa. Penulis juga menyokong langkah kerajaan dengan memerintah tentera untuk turun padang bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Ia juga bagi memastikan orang ramai duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting untuk keluar rumah. Perkara paling mengecewakan apabila sesetengah pihak mempertikaikan kerahan tentera padahal inilah waktu paling diperlukan oleh negara yang menghadapi krisis wabak tersebut.

Diharap tiada pihak mempolitikkan kerahan tentera kerana ia melibatkan keselamatan rakyat seluruh Malaysia dan kita seharusnya tolak ke tepi politik buat seketika. Kita perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan Itali akibat terlalu berlembut dan ambil sikap yang tidak peduli sehingga menyebabkan wabak tersebut meragut ribuan nyawa.

Adakalanya, cara kekerasan sangat berguna bagi mengajar rakyat yang begitu degil dan ingkat dengan arahan kerana kita tidak mahu perkara yang lebih buruk berlaku lagi.

Akhir sekali, terima kasih kepada pewira yang sanggup bertarung nyawa iaitu pasukan perubatan dan keselamatan demi keselamatan orang ramai dan tidak lupa kepada pihak media yang sanggup turun padang bagi memastikan maklumat benar dapat disampaikan kepada masyarakat.