Negara kita kini berdepan “ribut besar” yang melanda, iaitu pandemik COVID-19. Ini merupakan soal hidup dan mati rakyat Malaysia dan Kerajaan Malaysia memandang serius isu ini dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula menjalankan tugas untuk membantu pihak keselamatan dalam usaha melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Malangnya, ahli-ahli politik di Malaysia, terutama Pakatan Harapan dan penyokong mereka masih memilih untuk terlibat dalam politik murahan dengan mengecam tindakan kerajaan.

Sandiwara politik murahan sebegini wajar ditolak.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mengingatkan pemimpin politik Pakatan Harapan bahawa tugas ATM untuk membantu petugas keselamatan seperti polis adalah “tugas sekunder” pihak ATM demi keselamatan negara.

Usahlah mempolitikkan perkara sebegini kerana penglibatan ATM adalah untuk membantu anggota polis yang sudah mengawal keadaan sejak 18 Mac. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menzahirkan ucapan terima kasih atas jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan negara, termasuklah pihak polis dan tentera.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap dengan penglibatan ATM ini, rakyat Malaysia patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan ini agar kita dapat menurunkan kadar jangkitan baru COVID-19.

Menurunkan kadar jangkitan baru atau “flattening the curve” adalah penting agar pihak doktor, kakitangan perubatan dan kakitangan kesihatan dapat mengawal keadaan.

Kita tidak mahu terjadinya keadaan seperti di China apabila ribuan rakyat dijangkiti dalam masa yang singkat hingga menyebabkan kekurangan kemudahan dan kelengkapan peralatan kesihatan.

Oleh itu, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) merayu sekali lagi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tidak keluar rumah.

#stayhome  #staysafe  #staystrong

Malaysia Sejahtera!

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)