Angka kematian di Itali akibat Covid-19 semakin melonjak dan mencatatkan rekod baharu semalam sejak wabak berkenaan melanda negara itu sebulan lalu.

Jumlah kematian dicatatkan semalam ialah 793 dalam sehari menjadikan jumlah keseluruhan kematian 4,825 orang.

Pada Jumaat terdapat 627 kematian direkodkan dalam sehari.

Peningkatan itu adalah sebanyak 19.6 peratus menurut pegawai yang dipetik agensi berita dan media antarabangsa.

Jumlah kes di negara 61 juta itu ialah 53,578.

Lombardy menurut Reuters terus dalam keadaan gawat dengan 3,095 kematian.

Pasukan perubatan, doktor dan jururawat bertarung dengan masa untuk menyelamatkan pesakit. Mereka keletihan kerana bekerja dalam tempoh yang lama. Yang memburukkan keadaan, kakitangan perubatan juga jatuh sakit dan terkena Colvid-19.

Berdasarkan statistik, 86 peratus yang meninggal ialah mereka yang berusia 70 tahun ke atas, manakala 10 peratus lagi mereka yang berusia 60 hingga 69 tahun.

Pesakit bersendirian di dalam bilik hospital, ada daripada mereka mati keseorangan tanpa kaum keluarga rapat.

Mereka dihantar ke kubur juga tanpa saudara mara. Sehingga 11 halaman akhbar diisi dengan belasungkawa, dengan gambar si mati kerana wabak ini berbanding hari biasa satu halaman setengah sahaja.

Keadaannya begitu traumatik, merisaukan dan menakutkan.