Baru-baru ini ketika membaca dan mengikuti media sosial, didapati beberapa kumpulan whatsapp heboh apabila video kononnya, ahli politik kanan Sarawak yang memasuki lobi bangunan pejabat diperiksa suhu badan manakala pembantu dan pengawal peribadi tidak diperiksa.

Video tersebut diiringi dengan kenyataan sinis menyatakan bahawa seorang diperiksa suhu badan dan seolah-olah mewakili semua. Video pendek tersebut tersebar sehingga dalam beberapa media sosial, termasuk kumpulan whatsapp bukan berkaitan politik pun turut tersebar.

Namun begitu, penulis mendapat pencerahan daripada satu kumpulan whatsapp yang menyatakan video tersebut telah ditafsir dalam konteks yang salah. Hal ini kerana pejabat Menteri sememangnya mengambil langkah ketat untuk memastikan kakitangan yang bekerja berada dalam keadaan baik.

Prosedur yang dilalui ialah semua kakitangan pejabat kerajaan diperiksa secara rutin suhu badan mereka sebelum masuk ke pejabat. Kesemua pihak bukan sahaja para pemimpin politik tertinggi suhu badan dan kesihatan mereka dipantau. Malah setiap pihak yang terlibat dengan kementerian yang berhubungan setiap hari termasuk pengawal peribadi, setiausaha akhbar, pegawai khas turut diberikan perhatian dan diperiksa. Dengan kata lain, faktor kesihatan dalam situasi wabak Covid-19 sentiasa mendapat perhatian utama.

Dalam video tular tersebut, Menteri kanan tersebut terlebih dahulu diperiksa dan terus ke mesyuarat manakala ahli rombongan termasuk pegawainya diperiksa suhu ketika Menteri hadir bermesyuarat tidak dinyatakan konteks sebenar.

Punca cetusan

Sebenarnya punca video tersebut tersebar dan diperkatakan akibat daripada masyarakat terlalu obsess dengan wabak corona virus yang sedang mewabak di seluruh dunia. Mereka bimbang akan berlakunya kecuaian daripada aspek penjagaan kesihatan dan pencegahan yang boleh memberikan akibat yang buruk.

Kebimbangan ini berlaku kerana wabak ini menjadi pandemik yang tersebar luas di serata dunia termasuk di Malaysia. Di Itali terdapat 793 kematian dicatatkan dan keseluruhan kematian kini mencecah 4825 jiwa. Di negara China kini mencatat 3261 jiwa menjadi korban Covid-19. Di Sepanyol kini mencatat 1378 korban manakala di Iran seramai 1556 jiwa sudah terkorban. Di Indonesia dikatakan sudah lebih 500,000 rakyatnya terdedah dengan risiko virus ini, apatah lagi anggaran ini dianggap minimum kerana kerajaan Indonesia kekurangan alat pengesanan virus ini dengan penduduk sekitar 300 juta jiwa.

Di Malaysia, kini sudah mencatat hampir 2000 kes dan 8 kematian. Jumlah kes setiap hari kini mencecah seratus ke atas dan ini amat membimbangkan rakyat Malaysia. Perintah Kawalan Pergerakan sedang dilaksanakan dalam tempoh 2 minggu. Kini kawalan semakin diketatkan dengan penyertaan tentera dalam membantu kawalan. Hal ini menyebabkan rakyat semakin panik kerana dalam sejarah negara, hanya peristiwa berdarah 13 Mei yang melibatkan kawalan tentera dilakukan. Bencana seperti banjir pula ada melibatkan tentera namun hanya di beberapa kawasan banjir.

Dalam konteks hari ini pula tentera akan dikerah bertugas di seluruh negara. Hal ini mencetuskan kebimbangan baru. Justeru, pelbagai tafsiran, pandangan, komen netizen tidak dapat dielakkan. Kadang-kadang tafsiran mereka terlalu jauh merentasi pandangan biasa akibat daripada ketakutan dan kerisauan yang tinggi.

Tanpa Konteks

Akibat itu, pelbagai video tanpa konteks tersebar dengan begitu banyak termasuk video menteri kanan Sarawak tersebut. Ia juga akibat daripada media suka mensensasikan isu, membiarkan video tersebar tanpa pengesahan empunya badan atau pihak terbabit. Masing-masing berlumba untuk populariti media dan media sosial. Akibatnya rakyat keliru, dan boleh terpesong pandangan dan menyebabkan panik dan salah fahaman.

Rakyat pula cenderung menerima tanpa usul periksa kerana secara visual hal tersebut dirakam dalam video, pelaku atau watak-watak tersebut wujud. Dalam perubahan kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional yang terlalu baru dan ketidaktentuan politik menjadikan rakyat masih keliru dengan pelbagai isu negara masih banyak belum selesai dan tergantung seperti undi tidak percaya dijangka akan berlaku di Dewan Rakyat pada Mei ini dan perbalahan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Muhyiddin Yassin yang merupakan daripada parti dan perjuangan politik yang sama.

Autoriti Media

Ketika pandemik ini semakin berleluasa di peringkat global dan negara mengambil pelbagai tindakan bagi menangani ini, langkah pertama perlu rakyat lakukan ialah tidak cepat berasa panik mengenai apa-apa maklumat, berita yang belum tentu kesahihannya walaupun menerima maklumat tersebut daripada teman baik sendiri kerana belum tentu sahabat kita sendiri menguasai isu sepenuhnya dalam suasana kurang menentu ini.

Lagipun dalam suasana panik masyarakat, tidak mustahil teman kita yang rasional atau kadang kala terus menjadi rasional sepanjang masa. Ada ketika apabila terlalu banyak menerima informasi, terdapat juga yang terlepas pandangan hingga terlepas tapisan. Banyak tularan video yang tersalah informasi, ditafsir secara luar konteks dijangka akan terus berlaku selagi pemahaman yang kritis tidak berlangsung. Namun suasana ketidaktentuan dalam isi wabak pandemik ini menjadi rakyat menjadi panik.

Langkah terbaik dalam menangani isu ini ialah rakyat patut merujuk sumber yang sahih dan mempunyai autoriti tinggi. Organisasi kesihatan yang besar seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan misalnya mempunyai laman web mereka sendiri termasuk media sosial seperti Facebook dan Whatsapp. Majlis Keselamatan Negara juga mempunyai media sosial mereka sendiri yang boleh diikuti dalam penyampaian maklumat semasa dan terkini. Begitu juga Polis Diraja Malaysia mempunyai media sosial seperti Facebook bagi mengesahkan atau berkongsi maklumat semasa.

Sumber-sumber inilah perlu diikuti dan bukan percaya sepenuhnya terhadap tularan informasi atau video tanpa penjelasan konteks daripada masyarakat netizen semata-mata. Sesungguhnya berita palsu, mengelirukan boleh menyebabkan rakyat semakin panik.

Yang perlu diberikan perhatian ialah menangani wabak Covid-19 secara bijaksana dan segala berita mengelirukan dan palsu perlu dinyahkan dalam kepercayaan masyarakat kita. Aspek penting juga terus dilakukan ialah menjaga jarak fizikal, menjaga kebersihan dan keselamatan kesihatan keluarga dan mematuhi perintah Kerajaan yang sedang berlangsung!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.