Tuesday, August 16, 2022

Larangan masuk rumah panjang dipuji

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memuji usaha yang dilakukan oleh pihak pengurusan rumah panjang apabila melarang orang rumah memasuki kawasan mereka.

Menurutnya, ia memperlihatkan penduduk rumah panjang sedar dan memainkan peranan masingmasing dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ini kerana kebanyakan rumah panjang terletak jauh di kawasan bandar dan penyakit Covid-19 dibawa oleh orang luar. “Malah, kes positif di Sarawak adalah diimport,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menggesa penduduk di bandar untuk tidak balik ke kampung masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Ada kemungkinan penduduk bandar yang balik kampung menjadi pembawa Covid-19 apabila menghadiri acara sebelum ini. “Oleh itu, saya menyeru penduduk Sarawak untuk menjaga kebersihan masing-masing,” jelasnya.

Ketika diminta mengulas mengenai langkah Putrajaya yang akan menggunakan khidmat tentera sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, Uggah memberitahu, keputusan dibuat berdasarkan maklum balas secara menyeluruh.

“Setakat ini di Sarawak, ramai yang mematuhi perintah kawalan pergerakan dan pihak polis pula sedang aktif membuat pemantauan. “Saya berharap kita tidak sampai ke tahap itu (menggunakan khidmat tentera) kerana kita bukannya perintah berkurung,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau yakin yang keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas seluruh negara.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu polis bermula Ahad ini dari segi aspek pematuhan supaya rakyat berada di rumah masing-masing dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

Katanya, setakat ini terdapat peningkatan dari segi pematuhan rakyat untuk terus berada di rumah, namun masih ada yang tidak mempedulikan arahan daripada kerajaan, khususnya polis.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru