Sunday, November 27, 2022

Covid-19: Rayuan, esakan tangisan wanita ini harus menyentuh hati kita semua

Secara Rawak

Esakan tangisan dan rayuan seorang wanita  dalam rakaman klip audio yang viral begitu mengesankan. 

Wanita itu tidak diketahui identitinya, tetapi dipercayai sama ada jururawat, doktor atau staf di hospital yang menyaksikan sendiri pengorbanan staf di barisan hadapan yang bergelut dengan masa untuk mengubati pesakit Covid-19.

“Apa yang paling kita takuti ialah team mereka kepenatan,  mula hilang semangat dan keletihan melampau,’ katanya dalam esakan yang amat memilukan.

Rayuan itu ekoran daripada sikap sesetengah pesakit yang tidak jujur menyembunyikan maklumat dan latar belakang sebenar bahawa mereka sebenarnya ada kontak dengan individu yang membawa virus itu. Ya, sehingga doktor, jururawat dan staf barisan depan terdedah kepada risiko.

Rayuan itu juga dibuat selepas melihat sikap acuh tak acuh dan degil sesetengah rakyat Malaysia terhadap Perintah Kawalan Pergerakan.

Kata wanita itu,   staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada yang bekerja hingga 12 jam sehari. 

“Mereka pulang rumah mandi terus tertidur. Berapa ramai pula yang tidur di tempat kerja kerana keletihan,” katanya lagi.

 “Ada yang menangis sungguh-sungguh lihat pasangan mereka kepenatan teramat sangat, Anak-anak  pandang dari dalam kereta dari jauh. Ibu dan ayah melambai dari jauh,” katanya dengan esakan yang tak henti-henti. 

“Staf lain menangis melihat doktor keletihan. Kita risau barisan hadapan hadapan paling penting ini tumbang,” katanya lagi.

“Malangnya yang  sihat diberi cuti tidak menghargai pengorbanan mereka,’ katanya.

“Ada yang buat video persenda arahan kerajaan supaya duduk di rumah,” katanya membidas masih ada yang keluar beramai-ramai termasuk ke pasar raya.

“Ya Allah sedarlah semua. Ada yang datang ke hospital tidak dedahkan maklumat sebenar. Ada doktor menangis…Kasihanilah mereka, doktor dan jururawat terkena jangkitan. Ada pesakit yang menipu,” katanya sambil terus teresak-esak.

“Staf KKM ialah hero yang tidak terbanding dan pengorbanan mereka,’ katanya. 

“Tetapi kita sanggup mengkhianti pengorbanan mereka. Berapa banyak air mata tumpah. Ada yang menangis kerana lihat kawan-kawan yang keletihan,” katanya

“Tolong patuhi semua arahan kerajaan. Kita duduk diam-diam di rumah. Ucapkan terima kasih dengan hero-hero kita yang tidak bernamanya. Stay at home, please,” kata wanita itu  mengakhiri rayuannya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian semalam menegaskan, begitu banyak pihak yang mempertaruhkan nyawa menjaga pesakit yang dijangkiti Covoid-19.

“Kita harus mempunyai belas kasihan dan memahami mereka yang terlibat melakukan pekerjaan tersebut,” katanya.

Ketika barisan depan  ini bertungkus-lumus berkhidmat merawat pesakit Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah  tiga hari lalu memberitahu 15 daripada mereka telah dijangkiti virus tersebut.

Daripada jumlah itu, 12 merupakan kakitangan KKM, dan tiga kakitangan kesihatan swasta.

Salah seorang daripada 12 kakitangan KKM yang dijangkiti kini berada di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Virus ini tidak mengenal sempadan, tanpa mengira status bangsa, agama atau nilai harta anda, tambahan lagi jika anda seorang petugas kesihatan di barisan hadapan medan perang ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Beliau merayu kepada orang ramai supaya berada di rumah sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.

“Bantu kami untuk membantu anda. Duduk di rumah,” katanya.

Memang menyedihkan ada rakyat yang mempersenda arahan ini, mengambil mudah dan memandang remeh terhadapnya, sehingga menyebabkan Covid-19 mudah pula berjangkit kepada orang lain pula. Kita tidak harus mengambil ringan masalah ini. Buka mata dan lihat bagaimana angka yang dijangkiti dan meninggal telah meroket dalam waktu singkat.

Lebih menyedihkan  apabila terdapat pesakit yang membuat saringan kesihatan di klinik atau hospital tidak jujur memberitahu sejarah perjalanan mereka yang berkait dengan tempat berisiko kena jangkitan Covid-19 sehingga kesudahannya jumlah pesakit positif Covid-19 bertambah.

Ingat ketika anda duduk senang-lenang di rumah, mereka ini bertungkus-lumus di hospital, cuba menyelamatkan nyawa pesakit yang dijangkiti virus maut ini. 

 Mereka bertugas dengan penuh dedikasi dan bertenaga, meninggalkan rumah dan keluarga, jumlah jam lebih daripada biasa, tidak mengharap pujian dan imbalan. 

Setidak-tidaknya, kita semua hargailah pengorbanan dan jasa mereka. 

Kita tidak mahu barisan depan ini tumbang. Mereka ialah tentera di barisan depan yang perlu teguh sihat dan bertenaga dalam perang menentang virus ini. Kita perlu bekerjasama dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab. Kita tidak harus degil, ego dan bodoh sombong. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru