Korea Selatan: Gara-gara takut dijangkiti virus korona, remaja bertindak luar biasa memasukkan 39 helai wang kertas bernilai 10,000 won ke dalam ketuhar gelombang mikro.

Remaja itu mendapat maklumat virus korona itu musnah jika terdedah pada suhu panas.

Namun, dia panik apabila selang beberapa saat helaian duit tersebut mengeluarkan asap dan hangus pada bahagian tepi.

Dia kemudiannya ke sebuah bank menukar wang tersebut dan nasibnya baik kerana bank mahu menerima pertukaran terbabit.

Biarpun begitu sekitar 60,000 won tidak dapat ditukar kerana keadaannya sudah teruk.

Menurut remaja itu dia melakukan pembersihan menggunakan ketuhar selepas membaca kisah wanita dari China melakukan perkara yang sama.

Wanita itu dikatakan memasukkan 3,125 yuan ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk membersihkannya.

Sejak Covid-19 tersebar di seluruh China, kerajaan negara itu mengeluarkan arahan supaya wang kertas dan syiling perlu melalui prosedur pembersihan terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada orang ramai.

Semua bank di negara itu juga diarah menarik balik wang yang mungkin terkena sentuhan pesakit Covid-19.