KUCHING: Menteri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof meminta pelajar Sarawak di Semenanjung untuk terus berada dalam kampus atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sehingga akhir bulan ini.

Ia susulan isu pelajar Sarawak terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 selepas gagal mendapatkan tiket penerbangan pulang.

“Sila kekal berada di dalam kampus atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac,” jelasnya menerusi satu hantaran di Facebook.

“Sila tangguhkan perjalanan balik ke Sarawak sekalipun tiket penerbangan sudah dibeli,” tegasnya.

“Keselamatan anda dan keluarga lebih penting,” kata beliau.

Fadillah menegaskan, semua pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Kuala Lumpur dan Selangor dikehendaki balik ke kampus atau kediaman masing-masing dan perlu melapor diri kepada pihak pentadbiran IPT.

“Sila jaga keselamatan dan kesihatan diri dan rakan masing-masing dalam kita mengharungi tempoh yang mencabar ketika ini,” katanya lagi.