KUANTAN: Seorang kakitangan awam mendakwa diperdayakan untuk membayar RM40,100 bagi sebuah komputer riba yang dibeli di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 29 tahun mendakwa komputer riba itu ditawarkan pada harga RM1,800 semasa dia melayari laman sosial itu pada 25 Feb lepas.

“Mangsa mendakwa tertarik dengan harga itu lalu menghubungi penjualnya menerusi WhatsApp dan telah membuat bayaran pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, dia mendakwa pihak penjual meminta dia membuat lapan lagi transaksi pembayaran kononnya bagi kos insurans, penghantaran dan pelepasan cukai,” katanya seperti dilapor Bernama.