JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengambil langkah tambahan membendung penularan wabak Covid-19 dengan menutup kemasukan pelawat asing ke negara itu dan menghalang rakyatnya keluar negara untuk tempoh sebulan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Luar, Retno Marsudi dalam satu kenyataan berkata, visa bebas kunjungan (BVK), visa ketibaan (VOA) dan visa bebas diplomatik/perkhidmatan untuk warga asing ditangguhkan selama sebulan.

Susulan langkah tambahan tersebut beliau berkata, pelawat warga asing yang akan berkunjung ke Indonesia diwajibkan mempunyai visa daripada perwakilan Indonesia di negara masing-masing dengan menyatakan maksud dan tujuan lawatan tersebut.

Selain itu katanya, semasa memohon visa, mereka perlu melampirkan sijil kesihatan oleh pihak berkuasa kesihatan di negara masing-masing.

Menurut media Indonesia hingga Khamis, terdapat 309 pesakit positif Covid-19 dengan 25 kes kematian akibat wabak berkenaan.

Juga dilaporkan 15 kes pesakit telah sembuh.