Semalam terdapat 117 kes jangkitan baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif  Covid-19 sebanyak 790.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi berkata,  ini bukanlah perkembangan yang menggembirakan.

Justeru jelas beliau langkah-langkah tegas perlu terus diambil untuk membendung wabak ini daripada terus merebak.

Kerana itulah, tegasnya, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuat kuasa semalam.

Tujuannya kata beliau adalah supaya semua pihak tidak perlu bergerak ke sana sini. 

“Saudara-saudari tidak perlu bersesak-sesak dalam LRT, MRT atau bas untuk ke tempat kerja. Tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan di waktu rehat tengahari. 

“Anak-anak tidak perlu pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus Covid-19,” tegasnya.

Tetapi anehnya, mengapakah masih ada rakyat Malaysia yang mengambil mudah dan seolah-olah bercuti?

Ada yang masih melepak di kedai kopi dan tidak serius?

Mereka ini sengaja memekakkan telinga atau degil.

Selama tempoh dua minggu ini, Perdana Menteri merayu agar semua pihak berada bersama-sama anak-anak hanya perlu berada di rumah.

Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana,” katanya.

Justeru dengan cara ini rakyat terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularan wabak ini  dapat dibendung. 

Tujuannya pelaksanaan perintah ini kata Muhyiddin bukan untuk membolehkan semua pihak balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

Tujuannya ialah supaya semua pihak duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak ini

Kalau rayuan mudah itu pun tidak faham, tidak tahulah apa jadi dengan manusia jenis ini.

Ada yang dengan bangga hantar gambar dia duduk bersamai-ramai di kedai kopi dengan kawan-kawan.

Seolah-olah dia pekak dan kebal virus berkenaan.

Perintah Kawalan Pergerakan bukan untuk suka-suka atau bercuti. Dan makan di kedai dan restoran macam biasa. Tidak bolehkah mereka ini berhenti makan di luar untuk hanya dua minggu? Kalau ya pun, seperti diarahkan, bukankah mereka boleh membawa balik makanan berkenaan? 

Tujuan arahan ini adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19. Ya, bagi menyelamatkan kita semua.

Perlukah menunggu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan?