KUALA LUMPUR: Arahan untuk mendapatkan kebenaran jika orang ramai ingin ke negeri lain ditarik balik, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan sebarang perjalanan antara negeri tidak perlu mengisi borang buat sementara waktu.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya kurangkan pergerakan dan perjalanan ke negeri lain.

“Arahan untuk mengisi borang ditarik balik buat sementara waktu dan orang ramai diminta menunggu arahan baru yang akan dikeluarkan dalam sehari dua ini.

“Orang ramai boleh buat pergerakan yang perlu tanpa mengisi borang sehingga pengumuman lanjut dibuat,” katanya malam tadi susulan orang ramai berbaris panjang di balai polis untuk mengisi borang yang diperlukan.