Seperti yang diarahkan, kebanyakan kedai tutup pada hari pertama perintah kawalan pergerakan yang bermula hari ini. Tetapi anehnya, sama ada tidak faham atau degil, masih ada yang membuka kedai makan dan membenarkan orang ramai makan.

Orang ramai juga sengaja memekakkan telinga atau degil, tidak tahulah, sampai ada yang kata mereka ini bodoh.

Perintah Kawalan Pergerakan bukan untuk suka-suka atau bercuti. Dan makan di kedai dan restoran macam biasa. Tujuan arahan ini adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19. Ya, bagi menyelamatkan kita semua.

Berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan, yang berkuat kuasa bermula hari ini sehingga akhir bulan, semua jenis perniagaan dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan penting perlu ditutup.

Ada yang menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak menguatkausakan arahan berkenaan.
Perlukah menunggu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan mengarahkan kedai ditutup sedangkan arahan sudah jelas?

Dilaporkan seperti tersebar melalui media sosial, ada pelanggan makan di premis makanan.

Malah tular rakaman video yang menunjukkan pihak berkuasa tempatan mengarahkan peniaga pasar tani di Kuala Langat untuk menghentikan jualan.

Kedengaran pegawai yang menaiki kenderaan menggunakan pembesar suara mengarahkan para peniaga menghentikan jualan.

Di Mukah terdapat gambar orang ramai makan di kedai makan, sama seperti di Pasar Kenyalang, Kuching. Memang kita tak faham mereka ini. Mereka ini tak faham tujuan sebenar perintah itu dikuatkuasakan.

Seolah-olah bagi mereka ini, hidup perlu diteruskan seperti biasa. Walhal kita berdepan dengan situasi luar biasa. Ketika makan itu anehnya mereka bercakap tentang wabak Covid-19 dan bahayanya kalau rakyat tidak mempedulikan arahan kerajaan. Sedangkan mereka sendiri tidak ikut arahan!

Hakikatnya, tidak perlulah tunggu pihak berkuasa, polis, Rela dan sebagainya mengambil tindakan baru hendak tutup kedai.

Tidak perlu degil. Ikut saja arahan. Ketika ini negara perlukan sedikit pengorbanan daripada rakyat. Memang geram melihat sebahagian daripada sikap tidak bertanggungjawab rakyat kita, termasuk di Sarawak.

Atau anda perlu tunggu seperti yang berlaku di Itali baru hendak buka mata? Iaitu apabila lebih 300 orang mati dalam 24 jam?

Berdasarkan perintah kawalan pergerakan, hanya pasar awam yang dibenarkan beroperasi sementara pasar tani, pasar malam dan pasar-pasar lain dilarang.

Restoran pula tidak dibenarkan menerima pelanggan untuk makan di situ, sebaliknya hanya boleh menjual makanan untuk dibawa pulang dan menerusi khidmat penghantaran.