KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach)  menggesa Kerajaan Malaysia mengikut jejak langkah Kerajaan Itali yang menggantung pembayaran balik semua pinjaman perumahan untuk membantu rakyat menghadapi kesan dari wabak Covid-19.

Ketua Penyelarasnya Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, penggantungan ini bukan kali pertama di Itali tetapi pernah berlaku ketika krisis kewangan melanda negara Eropah itu.

“Di Malaysia, kesan kesihatan wabak ini melibatkan ribuan rakyat dan negara telah mencatatkan kematian pertama semalam. Tetapi kesan kewangan wabak ini akan melibatkan lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, ramai yang kehilangan pendapatan kerana diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji.

“Mereka yang terlibat di dalam perniagaan dan pembekal perkhidmatan melihat pendapatan mereka terjejas akibat dari pengurangan permintaan atau arahan kawalan pergerakan.

Paling terkesan adalah mereka yang terlibat di dalam perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga di pasar atau membuka warung,” katanya.

Beliau berkata, terdapat cadangan agar mereka berbincang dengan pihak bank untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman mereka.

“Tetapi kami yakin bukan semua daripada mereka berupaya mengadakan perbincangan dengan pihak bank,” katanya lagi.

“Inisiatif ini perlu datang daripada kerajaan. Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi-institusi kewangan. Tanpa inisiatif dari kerajaan, tidak hairan jika ramai yang akan melihat kediaman mereka dilelong oleh pihak bank,” katanya.