Dalam sehari dua ini, saya menerima begitu banyak berita palsu. Pihak yang menyebarkannya begitu yakin bahawa berita yang disebarkan itu betul.

Segalanya berpunca daripada ada individu atau pihak yang menulis sesuatu yang palsu. Palsu maksudnya tidak benar dan tidak berasaskan fakta dan data.

Dalam dunia akademik, tidak ada tempat bagi sesuatu yang tidak benar. Jadi, berita palsu sama sekali tidak bernilai malah bertaraf sampah.

Ini termasuk berita terbaharu kononnya Menteri Kesihatan berkata perintah berkurung bakal diumumkan.

Yang turut disebarkan ialah orang ramai dinasihati tidak mendekati Hospital Umum Sarawak kerana terdapat 300 orang disyaki menghidap Covid-19 di situ. Katil juga kononnya tidak cukup untuk menampung mereka.

Selain itu, ada dakwaan bahawa kakitangan cawangan sebuah bank di Kota Sentosa terkena jangkitan Covid-19.

Turut tular beberapa pesanan berantai melalui aplikasi WhatsApp yang memberi amaran kepada orang awam supaya menjauhi tempat-tempat dijangkiti wabak Covid-19. Antara tempat yang disenaraikan di dalam pesanan tersebut ialah pusat bowling dan restoran makanan segera di sebuah pusat beli-belah terkenal.

Semua itu tidak betul.

Pemantauan mendapati media sosial menjadi platform utama penyebaran berita palsu mengenai Covid-19.

Media sosial telah disalahgunakan oleh netizen yang tidak bertanggungjawab. Bagi saya mereka ini sakit jiwa dan berakal pendek. Mereka tahu mereka menulis sesuatu yang tidak benar. Tetapi mereka seronok melakukannya.

Mereka bukan membantu untuk meredakan keadaan, sebaliknya hanya mencetuskan kebimbangan, rasa panik malah ketidaktenteraman sosial.

Golongan yang suka menulis dan menyebarkan berita palsu itu sebenarnya berpenyakit.
Mereka perlu sedar bahawa media memainkan berperanan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Kewujudan Internet membantu mempercepatkan proses penyampaian berita dan segala macam maklumat, termasuk yang tidak diverifikasi. Berita palsu memudaratkan masyarakat dan negara.

Mereka ini mengambil kesempatan dengan mensensasikan berita yang langsung tiada kebenarannya. Apakah agenda dan tujuan mereka ini? Sedarkan mereka bahawa orang ramai boleh bimbang, tertekan dan panik disebabkan berita sedemikian?

Ternyata, sebahagian anggota masyarakat, termasuk pengguna media sosial, dilihat kurang peka akan kesan dan bahaya berita palsu. Hal ini diburukkan lagi apabila sebahagian masyarakat dengan mudah pula menyebarkannya dan mempercayainya.

Mereka hanya menelan bulat-bulan apa-apa yang disebarkan. Walhal, mereka sepatutnya, melakukan rujukan silang, dengan membaca sumber lain termasuk media arus perdana dan portal berita yang ada wibawa.

Kita tidak seharunysa menerima bulat-bulat apa-apa yang disebarkan melalui media sosial termasuk Whatsapp dan Facebook. Kita perlu menggunakan kearifan dan kebijaksanaan kita. Itulah sebabnya begitu penting untuk kita tidak hanya membaca satu sumber lebih-lebih lagi Facebook atau Whatsapp.

Media sosial bukan platform mencapai maklumat di hujung jari atau untuk menyebarkan berita sesuka hati tanpa mempedulikan kesannya kepada golongan sasar.

Pengguna media sosial tidak harus menjadi narsisistik dan leka dengan apa-apa yang disuap termasuk sampah. Jangan mudah terpedaya dengan berita sensasi dan kontroversi yang disebarkan termasuk yang berkaitan dengan Covid-9.

Facebook, WhatsApp, Telegram dan Twitter membolehkan capaian berita menjadi lebih pantas. Hal ini mengakibatkan maklumat terlalu mudah dikongsi hanya pada sekali tekan butangnya.

Bagaimanakah gejala ini dapat dibendung ketika orang ramai semakin ghairah menyebarkan berita palsu? Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dalam temu bual dengan The Daily Telegraph, baru-baru ini berkata: “Kerajaan perlu melancarkan kempen kesedaran untuk mengatasi masalah penyebaran berita palsu yang membunuh minda manusia. Ia masalah besar di dunia sekarang dan syarikat berkaitan teknologi perlu mengatasinya secara kolektif.”

“Kita perlukan kempen yang mengubah dan mendidik pengguna mengenai bahaya berita palsu,” katanya.

Penerima sebarang berita harus lebih berhati-hati kerana ada berita palsu direka semata-mata bagi menarik perhatian netizen dan menjadi isu hangat atau trending. Mereka ini mahu cepat popular walaupun dengan cara yang paling tidak bertanggungjawab.

Perbuatan menyebarkan berita palsu adalah haram dan mereka yang melakukannya boleh menanggung dosa. Hakikatnya, penyebaran berita palsu mewujudkan suasana tidak sihat dalam masyarakat. Malah, ia turut memberi pelbagai kesan negatif terhadap keadaan politik, ekonomi, sosial dan budaya negara. Jangan sampai masyarakat dan negara porak-peranda dan musnah angkara sikap tidak bertanggungjawab anda!

Kita tidak harus main-main dengan menulis dan menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19. Ia dapat menjejaskan nama baik pihak yang menjadi sasaran. Malah, ia akan menjejaskan perniagaan dan mencetuskan keadaan panik. Kebanyakan berita disebarkan tidak boleh ditarik balik dan hukumnya haram kerana perkara yang disebarkan itu membawa bencana kepada pihak tertentu. Ingat, terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya. Mata pena atau kekunci yang anda gunakan lebih tajam daripada pedang.

Akhir Januari lalu, seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan Covid-19 telah ditahan pihak berkuasa.

Penahanan dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suspek berumur 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari lalu.

Banyak lagi sedang dijejaki polis.

Orang ramai perlu lebih bertanggungwab ketika kita dilanda musibah. Covid-19 telah mendatangkan banyak kesan negatif kepada ekonomi negara. Semua pihak terjejas dan terkena tempias. Jadi, jangan burukkan lagi keadaan dengan membuat kerja sia-sia dan tidak bertanggungjawab.

Berita palsu hanya menimbulkan kegusaran ketenteraman awam ketika negara kini berdepan gelombang kedua koronavirus terbabit.

Anehnya meskipun banyak peringatan diberi dan tindakan dikenakan terhadap individu terbabit,namun masih ada yang meneruskan perbuatan seumpama itu.

Urus Setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak semalam menasihati orang ramai supaya berhenti daripada menyebarkan berita palsu yang tidak disahkan melalui media sosial atau platform media sosial.

Memberi peringatan demikian melalui satu kenyataan, JPBN menyatakan pihak polis dan Suruhnajyaya Komunikasi dan Multimedia tidak akan teragak-agak terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.

“Semua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberikan punca kuasa penguatkuasaan media sosial dan internet kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Selain dikenakan di bawah akta di atas, penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Dalam keadaan sekarang, pengguna media sosial tidak harus memburukkan lagi dengan menyebarkan berita tidak sahih dan berita palsu. Fikirkan kesannya terhadap orang ramai sebelum menyebarkan berita yang tidak diverifikasi itu. Jadilah rakyat yang lebih bertyanggungjawab setidak-tidaknya dengan tidak membantu merumitkan lagi keadaan.