KUCHING:  Pengumuman  Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan persekutuan malam tadi di sebalik peningkatan kes positif jangkitan Covid-19 di negara ini dijangka akan mencetuskan pembelian panik dalam kalangan orang ramai hari ini.

Berita yang belum disahkan semalam tentang kemungkinan perintah berkurung sebenarnya telah mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Penyebaran berita berkenaan di media sosial itu menyebabkan segelintir masyarakat bertindak membeli barangan keperluan asas dengan jumlah melebihi kebiasaan.

Hari ini dapat dijangka pusat beli-belah dan pasar raya akan diserbu orang ramai.

Mereka akan membeli barangan keperluan seperti gula, beras, mi segera, tepung, sardin dan makanan dalam tin lain.

Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin sendiri malam tadi  memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi.

“Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang,” katanya.

Demikian nasihat  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19  di dalam negara pada malam tadi.

Lagipun Muhyiddin telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuat kuasa.