MUKAH: Sebagai langkah mengawal dan mengekang penularan Covid-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kaul Mukah yang sepatutnya diadakan dari 12 hingga 19 April kini akan ditangguhkan.

Satu sumber menyatakan, mesyuarat Jawatankuasa Kaul Mukah yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini juga dibatalkan.

Langkah ini selari dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan  Kerajaan Sarawak yang meminta supaya sebarang acara membabitkan ramai orang ditangughkan atau dibatalkan.

Kaul Mukah, acara kebudayaan dan kepercayaan tradisional masyarakat Melanau di sini merupakan acara terbesar yang mampu menghimpunkan lebih daripada 10,000 orang.

Sementara itu, Pesta Daro 2020 yang sepatutnya diadakan dari 29 Mac hingga 5 April juga akan ditangguhkan ke tarikh baharu.

“Penangguhan ini adalah sejajar dengan arahan Perdana Menteri  dan arahan Jawatankuasa Pengurusan bencana Negeri Sarawak pada 13 Mac,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pesta Daro dalam satu kenyataan.

“Pihak Jawatankuasa Pesta Daro memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” katanya. 

”Semoga wabak ini berjaya ditangani dengan segera dan semoga kita semua selamat dalam perlindungan Alllah SWT,” katanya lagi.