KUCHING: Di tengah-tengah merebaknya wabak Covid-19, ada orang yang berhati walang seronok menyebarkan berita palsu.

Golongan berhati syaitan ini tidak faham akan kesan tulisan mereka ini terhadap rakyat pada keseluruhannya.

Mereka sesuka hati menggunakan akal singkat untuk menulis sesuatu tanpa memikirkan kesannya.

Golongan ini bagai menangguk di air yang keruh.

Mereka tidak bertanggungjawab dan tidak mengenal etika, menulis tanpa menggunakan otak.

Bukan sedikit berita palsu beredar, dan ini menuntut khalayak untuk mengesahkannya dengan membaca media arus perdana atau portal yang bertanggungjawab.

Semalam tersebar berita kononnya kakitangan cawangan sebuah bank terkena jangkitan Covid-19.  Ia segera dinafikan oleh kakitangan bank terbabit.

Ia bukan sahaja menjejaskan imej kakitangan itu tetapi juga kemungkinan perniagaan bank berkenaan.

Tersebar juga berita meminta orang ramai mengelak sebuah hospital kononnya 300 orang menunggu untuk dikuarantin dan ia tidak cukup katil. 

“Berniat jahat,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian. Beliau mahu pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menjejaki mereka terbabit.

Berbeza daripada penulis tidak profesional, wartawan yang bertugas di media berkenaan tidak akan menyiarkan sesuatu yang belum diverifikasi atau disahkan.

Mereka yang menulis sesuatu yang tidak benar, jelas palsu dan tidak berdasarkan fakta adalah sebenarnya orang yang benar-benar paloi dan tidak berhati perut.