Sering kali  terdapat penggunaan istilah konservatif  yang disalahtafsirkan apabila mengaitkan konservatif ialah pandangan kolot, lama, lapuk, tidak sesuai dengan zaman.  Dalam istilah yang tepat konservatisme ialah memelihara tradisi sesuai dengan perkataan dasar ‘conserve’, memelihara kesatuan  dalam masyarakat, cuba mengekalkan hieraki yang ada, mempertahankan autoriti yang selama ini berkuatkuasa dan hak-hak hartanah yang ada.

Dengan kata lain, konservatisme  politik dan konteks falsafah sosial ialah mempromosikan tradisi-tradisi  dalam konteks institusi-institusi sosial dan peradaban. Istilah lain dikaitkan dengan  konservatif ialah ‘sayap kanan’ namun penggunaan istilah boleh mengelirukan kerana terdapat sayap kanan seperti aliran fascism. Golongan konservatif ini  dikatakan sukar untuk mengubah status quo dalam keadaan yang sedia ada manakala golongan yang dikatakan kiri atau liberal berhasrat untuk mengubah bagi menyesuaikan keperluan semasa. 

Namun lazimnya, apabila  kelompok ini menjadi golongan terbesar maka  golongan kiri dan liberal akan berkompromi dengan  sayap kanan ini. Sebenarnya aliran konservatif tidak menentang secara keseluruhan, akan tetapi golongan sayap ini  juga sanggup berubah jika terdapat situasi yang memerlukan mereka berubah bagi menyediakan landskap yang baharu. 

Yang mereka tolak ialah  perubahan yang dianggap sebagai terlalu drastik atau radikal. Golongan ini terkelompok  dalam pemikiran gradualisme yang berasal daripada istilah latin bermakna gradus. Iaitu perubahan yang berlaku perlulah secara beransur-ansur  secara semulajadi dalam masyarakat dan tidak berlaku secara besar-besaran. Dengan perubahan yang minima, sedikit demiki sedikit ia diyakini mampu mengekalkan keseimbangan dan pengekalan  tanpa menimbulkan pertentangan yang besar. Ia sesuai juga dalam konteks keupayaan manusia dalam penerimaan menerusi keupayaan yang lebih rasional untuk pentadbiran yang lebih baik dan mengekalkan struktur pentadbiran.

Tradisi Konservatif

Malaysia sebagai negara  pernah dijajah oleh UK terpengaruh dengan  konservatisme UK yang mempunyai tradisi dan sejarah yang panjang dalam konteks menghargai nilai setempat termasuk masyarakat dan perubahan politik. Gerakan konservatif di UK  menekankan pemeliharaan yang terbaik daripada sejarah silam termasukkan aspek tradisi masyarakat dan institusi-institusi negara. Gerakan golongan ini mahukan perubahan secara beransur-ansur dan melakukan penyesuaian  dan perubahan yang dimahukan itu benar-benar perlu. 

Perubahan zaman  dan perubahan dalaman yang berlaku dalam parti itu sendiri  yang menyebabkan terdapat kecenderungan sesetengah parti konservatif kurang membuat penekanan  pemuliharaan masa lalu dan pembaharuan. Hal ini kerana terdapat parti yang terlalu memfokuskan  akan keperluan kemenangan dalam pilihan raya sehingga parti tersebut menjadi kurang popular atau pun mendapat kemenangan besar. Di UK, parti konservatif mendominasi kerajaan pada abad ke 20.

Konservartisme percaya   bahawa manusia yang lahir cenderung bebas dan jika tidak dikawal akan menyebabkan perlanggaran undang-undang yang terlihat dalam konteks sejarah lampau pernah berlaku manakala struktur  tradisi yang mengawal daripada perkara buruk berlaku. Sebab itu, undang-undang untuk mengekang perlanggaran undang-undang banyak diadakan.

Terdapat pelbagai aliran konservatisme seperti Burkean, Coleridge dan Wordworth,Maistre dan konservatif Latin.  Tsarist dan Dostoyevskyan, konservatisme Amerika dan konservatisme tradisi. Kini wujud pula konservatisme baru yang menekankan keperluan peraturan, keadilan,  kebebasan dan undang-undang moral yang boleh mencetuskan protes apabila ia semacam suatu paksaan untuk mengekalkan tradisi lama atau peraturan yang sedia ada. Ternyata ia lebih pegangan yang kuat terhadap aspek tradisi walaupun  bukanlah suatu ideologi yang kukuh. 

Pada masa yang terdapat unsur pragmatism dalam dasar konservatif, iaitu boleh berubah-berubah mengikut kesesuaian pemerintahan dan situasi masyarakat dan negara.   Margaret Thatcher yang memerintah 1983 hingga 1989 misalnya membawa idea pasaran bebas, pengukuhan kewangan, kawalan terhadap perbelanjawaan awam yang dikawal, pemotongan cukai-cukai, semangat nasionalisme,  nilai-nilai Inggeris, mempertahankan Institusi tradisional, penyekatan terhadap gerakan buruh, inflasi rendah, kawalan ketat terhadap kewangan, penswastaan, pilihan kebebasan daripada kesamarataan, penekanan  terhadap undang-undang, ketidak percayaan terhadap peranan kerajaan dominan, dan seterus berhati-hati terhadap perubahan. Beliau dianggap golongan konservatif yang liberal dan berbeza dengan parti konservatif yang ditubuhkan secara dinamik sejak tahun 1830-an.  Inilah cuba ditiru oleh Dr Mahathir cuba menjadi konservatif liberal ketika memerintah negara selama 22 tahun. 

Parti Konservatif Malaysia

Di Malaysia parti seperti UMNO, PAS dan MCA ialah contoh parti konservatif.  Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap UMNO adalah sebuah parti konservatif progresif. Hal ini bermaksud parti UMNO bergerak mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan juga tatasusila serta sistem sosial yang ada di negara ini.

Zahid menolak tanggapan bahawa UMNO adalah sebuah parti rasis. Sebaliknya UMNO  perlu dilihat bukan hanya sebuah parti politik semata-mata. Sebaliknya sebuah institusi sosial kepada  negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Secara tradisi, konservatifisme UMNO terletak pada perjuangan UMNO berteraskan kepada  agama Islam dan rumpun Melayu, namun menghormati agama dan etnik lain.  

Yang ditekankan oleh parti konservatis ini ialah bukanlah konsep kesamarataan  tetapi konsep keadilan sesuai dengan konsep penghargaan kepada tradisi yang lalu yang menjadi sejarah negara, iaitu Melayu ialah penghuni asal alam atau dunia Melayu yang luas dan berteraskan agama Islam.  Sebagai parti sayap kanan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 diamalkan selepas lebih 40 tahun, bagi memelihara masyarakat agar tidak terlibat dalam kancah konflik yang boleh memudaratkan negara.

Namun di bawah pemerintahan Najib Tun Razak sesuai dengan konsep konservatisme progresif telah menggantikan ISA  dengan undang-undang POCA dan SOSMA yang dilihat lebih lunak dan tidak seberat undang-undang ISA.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.