KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac hingga 5 April ini ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) keputusan itu dibuat selepas berunding dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia untuk menggantung semua acara sukan berikutan sekatan yang dilaksanakan sebagai langkah untuk memerangi wabak COVID-19 sehingga April 2020.

Tambah kenyataan itu, bayaran balik kepada pembeli tiket acara ini pula akan bermula pada Isnin (16 Mac) dan diproses kepada semua dalam tempoh lapan hari bekerja.

Bagaimanapun, pihaknya juga akan sentiasa mengawasi nasihat kerajaan dengan mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua.