Persiapan atlet sukan Olimpik terkesan angkara

KEPALA BATAS: Persiapan 35 atlet negara untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan turut terkesan ekoran wabak COVID-19 yang diisytiharkan sebagai pandemik.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan daripada 35 atlet tersebut, 12 disahkan layak manakala 23 lagi dalam proses untuk disenaraikan ke kejohanan berkenaan menurut laporan Astro Awani.

Bagaimanapun, sesi latihan atlet tersebut menerima kesan manakala semua aktiviti di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditangguhkan atau ditunda sehingga 30 April depan bagi mencegah jangkitan virus tersebut.

“Tentang persiapan atlet-atlet kita, memang ada kesan sebab ada dalam kalangan atlet kita tak dapat menyertai kejohanan-kejohanan di luar disebabkan negara-negara yang melakukan clamp down (penutupan sementara).
“Kejohanan-kejohanan yang sepatutnya kita cuba lakukan dalam negara pun kita menerima arahan untuk ditangguh atau dibatalkan,” ujar beliau.

Seperti dipetik Astro Awani, Reezal yang mengetuai jawatankuasa Road To Tokyo (RTT) berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas memberitahu setakat ini tiada atlet negara yang dijangkiti COVID-19 dan mereka akan dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru jika sesi latihan disambung semula.

“Setakat ini tiada (jangkitan) cuma ada tiga pemain hoki yang dikatakan (dijangkiti) tetapi telah melalui saringan dan melalui saringan tersebut mereka didapati negatif,” jelasnya.

Reezal memaklumkan beliau akan melawat Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat bagi mendapatkan perkembangan semasa mengenai atlet yang terbabit dengan Sukan Olimpik.

Sementara itu, program pembangunan sukan dan belia yang dirangka kementerian sebelum ini akan dianalisis bagi memastikan hanya program yang memberi impak dilaksanakan.

Reezal berkata, pihaknya akan menilai semula program sukan yang kurang memberi impak manakala sukan yang berpotensi seperti e-sukan akan diteruskan berikutan ia fenomena baharu di negara ini.