Semua orang terkena tempias dan kesan wabak Covid-19 atau coronavirus, tidak kira orang miskin atau kaya. Yang hidup di desa atau kota. Di negara maju atau membangun.

Semua orang takut dijangkiti wabak yang belum pasti bila akan reda itu. Semua orang takut mati.

Di China saja angka kematian meningkat kepada 3,200 pada Sabtu menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Agensi berita Anadolu melaporkan 13 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 11 kes baharu dikesan menjadikan keseluruhan pesakit seramai 80,824.

Virus itu kini merebak sekurang-kurangnya ke 123 negara dan wilayah.

Jumlah kematian seluruh dunia mencecah hampir 5,000 orang dengan lebih 132,500 kes disahkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ya, ke mana-mana kita pergi, tempat yang biasanya sibuk dan hiruk-pikuk dengan orang ramai mulai sunyi. Sebuah video tular menggambarkan bagaimana kawasan KLCC kini sunyi sepi.

Ini saat yang betul-betul menguji kita semua. 

Yang paling terkesan tentunya bidang pengangkutan dan penerbangan. Ia telah memberi kesan kepada ekonomi secara amnya, dan sektor pelancongan Malaysia secara khususnya.

Sebelum ini, media melaporkan, kebanyakan syarikat penerbangan global mengambil langkah menggantung dan mengurangkan penerbangan terus ke kebanyakan bandar raya utama negara itu.

Ini berikutan kemerosotan jumlah penumpang yang bimbang terutama berhubung isu keselamatan memandangkan kematian di China semakin meningkat.

Banyak syarikat penerbangan dunia mengumumkan penggantungan sementara penerbangan ke China.

Kemunculan virus dengan gejala seperti selesema itu menjadi ancaman terbesar kepada industri penerbangan sejak kali terakhir berlakunya Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2013.

Penularan SARS mencatatkan kerugian yang besar kepada pemain industri penerbangan dengan kemerosotan sebanyak 45 peratus jumlah penumpang.

Dua syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Aviation Group (MAG) dan AirAsia Bhd pula melaksanakan langkah mengurangkan gaji kakitangan untuk tempoh beberapa bulan dalam usaha menangani kesan COVID-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat.

Malindo Air pula akan mengenakan potongan gaji 50 peratus ke atas kakitangannya sebagai tambahan kepada dua minggu cuti tanpa gaji untuk menampung impak Covid-19.

MAG  dilaporkan akan mengurangkan 10 peratus gaji serta elaun pengurusan kanan semua syarikat di bawahnya selama tiga bulan bermula bulan ini, kata sumber rapat syarikat itu

Pengurangan itu adalah sebagai  langkah permulaan yang akan berjalan selama tiga bulan dan jika aliran kewangan kumpulan itu masih terjejas dengan kesan Covid-19, maka ia mungkin akan diteruskan.

Jumlah pelancong juga turun mendadak. Dengan sendirinya semua bidang yang ada kaitan dengan pelancongan tentu terjejas teruk, termasuk hotel, pengangkutan, teksi, restoran, kedai makan, kraf dan banyak lagi.

Sasaran untuk menarik 30 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini tentu sukar dicapai. Jumlah pelancong dari China pasti merosot tajam. Pada tahun lalu, sejumlah tiga juta pelancong dari China melawat Malaysia.

Semua kegiatan yang membabitkan jumlah peserta yang banyak juga dibatalkan. Ini tentu akan mendatangkan kesan besar kepada ekonomi dunia dan negara. Harga minyak dunia juga terjejas. Kini ia hanya $30 (RM128) setong.

Bursa saham juga antara yang banyak terkesan oleh serangan wabak ini. Di bursa saham KL, banyak juga kaunter ditutup pada 50 sen sahaja. Mungkinkah ini waktu terbaik untuk membeli saham terbabit?

Sekolah juga ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. Sekolah di Jakarta, Indonesia akan ditutup mulai Isnin depan. Jika keadaan bertambah teruk di negara ini, pasti langkah yang sama tidak dapat dielakkan.

Dalam keadaan yang sulit ini, ada yang mengambil kesempatan dengan menjual topeng terpakai.

Polis Thailand merampas sekurang-kurangnya 200,000 topeng muka terpakai dalam satu serbuan di sebuah rumah di wilayah Saraburi baru-baru ini.

Polis mendapati  enam pekerja sedang sibuk mengasingkan, mencuci dan menyeterika topeng muka terpakai sebelum dibungkus untuk dijual di pasaran tempatan. Seorang daripada pekerja itu memaklumkan kepada polis, mereka dibayar 1 baht untuk sekeping topeng muka dan seorang pekerja mengitar semula kira-kira 300 hingga 400 topeng setiap hari.

Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia menahan dua warga Malaysia cuba menyeludup kira-kira 12,000 topeng muka ke Kuala Lumpur.

Ketika soal siasat, suspek yang berusia 44 dan 42 tahun itu mendakwa topeng berkenaan dibawa untuk diedarkan secara percuma kepada kanak-kanak di Malaysia bagi mencegah dijangkiti Covid-19.

Sebelum ini, kita dapati ada warga yang melakukan pembelian panik. Awal Februari lalu, beberapa gambar turut tular di media sosial memaparkan rak kosong, troli dipenuhi barangan dan orang ramai beratur panjang di kaunter pasar raya.

Penduduk Singapura  melakukan pembelian panik dan mengosongkan rak di pasar raya utama selepas kerajaan menaikkan tahap amaran susulan penularan Covid-19

Pengumuman itu menyebabkan 5.7 juta penduduk negara ini, kebanyakannya memakai topeng muka bergegas ke pasar raya melakukan pembelian panik bagi menyimpan barangan seperti beras, mi dan tisu tandas. Sebagai akibatnya, banyak makanan di pasar raya dan kedai habis.

Kesan pembelian panik cukup besar kerana ia akan menyebabkan bekalan produk di pasaran berkurangan mendadak.

Rakyat di negeri kita juga terjangkit tabiat yang sama. Tidak perlu panik. Bertenang dan amalkan gaya hidup sihat. Kita doakan wabak ini akan segera mereda.